Saturday, June 5, 2010

Musuh Anak Adam Nombor 1: SYAITAN....



SYAITAN merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Syaitan ialah musuh utama bagi seorang mukmin seperti yang kerap kali diulang oleh Allah SWT di dalam Al-Quran.

Antaranya, dalam Surah Faatir ayat ke enam ;


إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ


Maksudnya :
Sesungguhnya syaitan ialah musuh kepada kamu, maka jadikanlah dia musuh. Sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka.


Kita haruslah sedaya upaya berusaha menjauhi amalan-amalan yang diwarisi daripada syaitan atau perbuatan yang boleh menyebabkan kita menjadi pengikutnya. Walaupun kita berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat, hadis-hadis Rasulullah SAW banyak mendedahkan hakikat sebenar syaitan dan cara-cara untuk menghindari tipu muslihatnya.




Di sini dinyatakan hadis-hadis mengenai perkara ini untuk panduan kita bersama. Iaitu ;

1. Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri :

Sabda Rasulullah SAW ;


" Apabila seseorang daripada kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya, syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya. "
( Riwayat Imam Muslim)



Berusahalah sedaya-upaya makan dengan tangan kanan walaupun anda seorang yang kidal. Sekiranya anda makan dengan menggunakan sudu dan garpu, suaplah ke mulut dengan tangan kanan agar tidak menyerupai syaitan yang makan dengan tangan kiri.

2. Syaitan minum dan makan dalam keadaan berdiri :

Rasulullah SAW melihat seseorang yang minum sambil berdiri.

Baginda menegur,  " Jangan begitu! "

Orang itu bertanya, " Mengapa? "

Rasulullah menjawab, " Adakah kamu suka minum bersama kucing? "

Orang itu menjawab, " Tidak. "

Rasulullah SAW meneruskan:


" Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu sesuatu yang lebih buruk daripadanya, iaitu syaitan. "
( Riwayat al-Darimiy dengan sanad yang sahih)



Oleh itu, elakkan minum sambil berdiri kecuali dalam keadaan yang tidak mengizinkan seperti keadaan yang sesak dengan orang ramai atau kawasan yang kotor.

3. Syaitan ketawa apabila menguap sehingga mengeluarkan bunyi :

Sekiranya anda menguap, ingatlah itu adalah daripada syaitan.

Sabda Nabi Muhammad SAW ;


" Menguap adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang daripada kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi 'Haaa', maka ketawalah syaitan. "
( Riwayat Imam Al-Bukhari)



Jika tidak dapat menahan diri daripada menguap, maka tutuplah mulut dengan tangan dan berusaha tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Ini berdasarkan hadis ;


" Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka). "
( Riwayat Imam Muslim)


4. Syaitan kencing di telinga :

Apabila seseorang itu tidur sehingga pagi hari maka syaitan kencing di kedua belah telinganya seperti di dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud ;


" Itu ialah orang yang syaitan telah kencing di dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya. "


Rasulullah SAW berkata demikian apabila diceritakan kepada baginda tentang seseorang yang tidur sehingga pagi.

5. Syaitan dapat makan, minum dan tempat bermalam :

Imam Muslim meriwayatkan hadis yang bermaksud ;

Apabila seseorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah dengan membaca 'Bismillah' ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan kepada golongannya ;


" Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga memiliki makanan malam. "


Sebaliknya apabila seseorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan kepada golongannya ;

" Kalian telah mendapat tempat bermalam. "


Apabila seseorang tidak mengingati Allah ketika makan, maka berkatalah syaitan kepada golongannya ;


" Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam. "


Menyebut nama Allah ( Bismillah) ini dituntut juga ketika keluar dari rumah, menutup bekas-bekas makanan dan minuman, ketika menutup pintu dan tingkap agar terselamat daripada gangguan syaitan.

6. Syaitan makan sisa-sisa makanan :

Apabila Rasulullah SAW makan, baginda menjilat jari-jarinya sebanyak tiga kali.

Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda ;


" Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah dia mengambilnya dan membersihkan sebarang kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan. "


Anas melanjutkan ;


" Rasulullah juga menyuruh kami untuk menghabiskan sebarang sisa makanan. "


Baginda berpesan ;


" Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan. "
( Riwayat Imam Muslim)



Tidak usahlah anda menjadi pemurah kepada syaitan dengan membiarkan sisa-sisa makanan. Entah berapa ramai yang tamak ketika makan sehingga menyebabkan makanan berlebihan dibiarkan untuk santapan musuhnya sendiri.

7. Orang yang membazir ialah saudara syaitan:


" Siapakah yang telah mempersaudarakan seorang yang membazir dengan syaitan?. "


Allah sendiri yang mempersaudarakan antara keduanya.

Firman Allah SWT ;


إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا


Maksudnya :
Sesungguhnya orang-orang  yang membazir itu ialah saudara-saudara syaitan.
(Surah Al-Isra' ayat 27)



8. Syaitan mengganggu ibadat manusia :

Sahabat bernama ‘Uthman bin Abi al-‘Ash  mengadu kepada Rasulullah SAW ;


" Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan Al-Quran ku, dan ia selalu mengelirukan aku. "


Maka Rasulullah menjawab ;


" Itulah syaitan yang disebut sebagai 'Khanzab', maka apabila merasai gangguannya, mohonlah perlindungan Allah dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali. ‘Uthman bin al-‘Ash kemudian berkata; " Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku. "
(Imam Muslim)



9. Sikap terburu-buru adalah daripada syaitan :

Kadang-kadang kita bersikap terburu-buru di dalam melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kita menghadapi kerugian, kualiti kerja yang merosot dan sebagainya. Sikap gopoh dan terburu-buru ini adalah antara hasutan syaitan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;


" Ketenangan adalah daripada Allah manakala tergesa-gesa adalah daripada syaitan. "
( Imam Al-Baihaqiy)


10. Sikap cemburu adalah daripada syaitan :

Cemburu di sini ialah cemburu membabi-buta tanpa bukti dan usul periksa. Seperti hadis Aishah R.A. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud ;


" Apa yang terjadi kepada kamu, wahai Aishah? Adakah kamu cemburu? "

" Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti anda? "


Kemudian Rasulullah SAW melanjutkan ;


"Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?"

" Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan? "

" Ya. "

" Dan apakah syaitan itu ada di setiap manusia? "

" Ya. "

" Apakah syaitan juga bersama kamu wahai Rasulullah? "

" Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku daripadanya. "


11. Perasaan marah adalah daripada syaitan :

Apabila seseorang itu di dalam keadaan marah, syaitan menguasai dirinya sehingga sanggup melakukan perkara di luar batas kemanusiaan. Perkara ini boleh diatasi dengan membaca 'istiqhfar' . 

Sulaiman Bin Surd berkata ;

Ketika aku sedang duduk bersama Nabi SAW, terdapat dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang daripada mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul.

Maka Nabi SAW bersabda ;


" Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah 'A'uzubillahi minash syaitan' nescaya kemarahannya akan hilang. "
( Imam al-Bukhari)

12. Syaitan gemar berkeliaran pada waktu senja :


Kita sering dilarang oleh ibu bapa kita supaya tidak berada di luar rumah pada waktu senja.

Pesanan ini berasal daripada Rasulullah SAW yang bermaksud ;


" Apabila malam menjelang tiba, maka tahanlah anak-anak kalian (daripada keluar) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu waktu Isya', maka lepaskanlah mereka. "
(Imam Al-Bukhari)


13. Pasar adalah tempat kegemaran syaitan :

Tempat-tempat seperti ini merupakan tempat syaitan melepak.

Rasulullah SAW bersabda ;

" Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan janganlah menjadi orang terakhir yang keluar dari pasar kerana sesungguhnya pasar ialah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dipacakkan. "
( Imam Muslim)



Pada masa kini pusat membeli belah, pasaraya dan bursa saham juga termasuk di dalam hadis di atas.

14. Syaitan boleh membesar seperti rumah :


Imam Ahmad Bin Hanbal dalam musnadnya meriwayatkan dari seseorang yang dibonceng oleh Nabi SAW. Dia berkata , " Tunggangan Nabi SAW tergelincir, maka aku katakan celaka syaitan. "

Nabi SAW bersabda :


" Janganlah kalian menyebut 'Celakalah syaitan!' kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata, 'Demi kekuatanku!' . Sebaliknya sebutlah 'Bismillah!' kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat. "

Demikian sebahagian himpunan hadis-hadis yang berkaitan dengan syaitan. Semoga perkongsian ini dapat membantu kita untuk lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian agar selamat dan terpelihara daripada musuh nombor satu. Mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah SWT daripada muslihat, godaan dan tipu daya syaitan.


sumber: www.iluvislam.com 

No comments:

Post a Comment

linkWithin

Related Posts with Thumbnails