Tuesday, August 9, 2011

Syurga Lebih Rindu Padanya... :)

PUT YOUR TRUST TO ALLAH...100% INSYA-ALLAH (^-^)
ya Allah... ya Allah... ya Allah...

Bismillahirrahmanirrahim....
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Moga semua dalam rahmat-NYA
InsyaAllah
dr: remaja masjid
  
 ~Syurga rindu orang yang berusaha sepenuh tenaga ~

Syurga, ia satu motivasi buat kita semua.

Motivasi yang menolak keinginan, menambah rasa cinta dan mengghairahkan perasaan beramal demi untuk mendapatkannya.

Ramai yang berhajatkan syurga bila mendengar cerita-cerita kenikmatan dan keindahan di dalamnya.

“Sesunggunya mereka yang beriman dan beramal saleh, tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik. mereka Itulah (orang-orang yang) bagi mereka surga 'Adn, mengalir sungai-sungai di bawahnya; dalam surga itu mereka dihiasi dengan gelang mas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera Halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas bangku-bangku yang indah. Itulah pahala yang sebaik-baiknya, dan tempat istirahat yang indah”

[Al-Kahfi :31-32]

Banyak kisah-kisah tentang syurga yang Allah patrikan dalam Al-Quran.

Ia tidak lain selain bertujuan untuk meningkatkan motivasi kita untuk beramal.

Tambahan pula dalam Ramadhan ini, Nabi s.a.w. bersabda dalam riwayat Abi Hurairah yang bermaksud:

“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan penuh berkah yang di dalamnya Allah mewajibkan puasa, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu….” [HR Imam Ahmad]

Maka, semakin ramailah yang meng’imarahkan suasana Ramadhan ini dengan lebih banyak beribadah daripada biasa.

Kalau yang jarang-jarang solat, bulan Ramadhan ini, dia mula me‘rajin’kan diri untuk solat.

Kalau yang jarang-jarang baca Al-Quran, masuk Ramadhan, dia menjadi lebih akrab dengan Al-Quran.

Kalau yang memang sudah rajin beribadah sebelumnya, Ramadhan itu jadi satu ‘pitstop’ yang amat dinantikannya supaya dia lebih akrab dengan Allah.

Kenapa begitu?

Kerana masing-masing ingin merebut syurga Allah. Orang yang memasuki Ramadhan, tetapi tidak ada rasa persaingan untuk merebut syurga Allah, maka dia rugi.

Sudahlah di luar Ramadhan, memang tidak bersaing langsung, masuk Ramadhan pun tidak miliki perasaan untuk bersaing merebut syurga Allah, maka orang ini bukan setakat syurga tidak rindukan dia, bahkan dia sendiri pun tidak rindukan syurga !

BAGAIMANA MENJADI LELAKI DAN WANITA YANG DIRINDUKAN SYURGA?

Kita rindu kepada syurga, itu satu perkara yang biasa.

Ya. Memang biasa. Siapa yang tidak rindu syurga, bukan?

Tanyalah siapapun, mana ada orang yang tidak mahukan kenikmatan di dalamnya.

Tetapi, yang lebih luar biasa adalah menjadikan syurga itu rindu kepada kita.

Syurga rindu kepada kita?
Bagaimana mungkin syurga rindukan kita?

Ya, mungkin susah tetapi tidak mustahil.

Kalau ingin jadi pemuda pemudi yang luar biasa, maka kita perlu berusaha menjadikan diri kita dirindui syurga.

Syurga memanggil-manggil namanya, kerana rindu untuk memasukkannya ke dalam kenikmatan-kenikmatan yang berada di dalamnya.

ZUBAIR IBN AWWAM, PEMUDA RINDUAN SYURGA

Baca betul-betul, pemuda rinduan syurga, bukan pemuda rindukan syurga !

Beliau adalah sahabat Nabi s.a.w. yang mendapat jolokan ‘pengikut setia Nabi’.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :

“Setiap Nabi mempunyai pengikut setia, pengikut setiaku adalah Zubair Ibn Al-Awwam.”

Beliau adalah daripada kalangan 10 sahabat Nabi s.a.w. yang dijanjikan syurga dan di kalangan 6 orang yang dipercayai oleh Saidina Umar Al-Khattab dalam memilih khalifah seterusnya selepas beliau.

Beliau memilih Islam sebagai kehidupannya ketika umurnya 15 tahun, umur yang masih muda dan segar. Sejak kecil lagi, beliau terlatih sebagai penunggang kuda dan pemanah yang cekap.

Ketegasannya dalam mempertahankan Islam sebagai akidah dapat dilihat ketikamana pak ciknya sendiri menyeksa beliau, lalu meminta beliau meninggalkan jalan IMAN dan ajaran Nabi s.a.w., tetapi dijawab kepada pak ciknya dalam keadaan umurnya yang masih muda itu:

“Tidak ! Demi Allah, aku tidak akan kembali kepada jahiliah sekali lagi.”

Diriwayatkan, tidak ada peperangan yang tidak disertai oleh Zubair Ibn Awwam sepanjang hidup bersama Nabi s.a.w.

Sehinggakan, beliau menerima banyak ‘medal-medal’ di tubuhnya menandakan keperwiraannya dan penyertaannya dalam peperangan bersama Nabi s.a.w.

Bahkan, sahabat menjadi kehairanan melihat tubuhnya kerana terlalu teruknya kesan-kesan luka yang dialami beliau sehingga sahabat pun bertanya kepadanya:

“Aku melihat kesan di tubuh engkau yang tidak pernah aku lihat sebelum ini.”

Maka dijawab beliau tanpa ada rasa sakit dan ingin meminta belas:

“Demi Allah, aku tidak pernah mendapatkan kesan-kesan ini kecuali ketika aku bersama Nabi s.a.w dan berada di jalan Allah.”

Dalam Perang Uhud, selepas tentera Quraisy meninggalkan tapak Uhud dan bertolak ke Makkah, Nabi s.a.w. telah menugaskan beliau bersama Abu Bakar untuk mengikuti tentera Quraisy dan mengejar mereka supaya mereka menyangka tentera Islam masih kuat dan tidak merancang untuk menyerang Madinah bagi meneruskan peperangan.

Abu Bakar dan Zubair telah memimpin 70 orang tentera. Walaupun mereka mengejar jumlah tentera yang jauh lebih besar daripada mereka, tetapi strategi yang digunakan oleh mereka menyebabkan tentera Quraisy menyangka telahan mereka bahawa tentera Islam telah kalah tersilap. Dengan strategi yang digunakan oleh Abu Bakar dan Zubair itu, tentera Quraisy mempercepatkan langkahan mereka menuju Makkah.

Dalam Perang Yarmouk, Zubair Ibn Awwam umpama sebuah bala tentera dalam dirinya. Ketika sahabat-sahabatnya mula berundur bila melihat bala tentera Rom yang lebih besar, dia melaungkan, “Allahu Akbar ! Allahu Akbar!” serta merempuh bala tentera Rom itu berseorangan, dia memanah ke sana sini dan tidak ada satu yang tersasar.

Bahkan dikisahkan, jikalau ada 100 000 orang tentera sekalipun bersama-sama dengan dia dalam peperangan, kita seolah-olah melihat hanya dia yang benar-benar berperang, dan seolah-olahnya tanggungjawab berperang dan kemenangan itu hanya terletak pada dirinya sahaja.

Beliaulah yang disabdakan Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Talhah dan Zubair adalah jiranku di dalam syurga.”

MasyaAllah. MasyaAllah.

Apa lagi yang lebih hebat daripada janji Nabi s.a.w. sendiri?

PENUTUP : MEMBENTUK PERIBADI YANG MERINDUKAN DAN DIRINDUI SYURGA

Kita tidak mahu cinta tidak berbalas.

Kita tidak mahu kerinduan berakhir dengan angan-angan kosong semata-mata.

Jika syurga yang kita inginkan, maka jalan SYURGA sahajalah yang kita perlu lalui.

Kita perlu membentuk peribadi-peribadi SYURGA.

Ada 3 kategori peribadi manusia, tetapi hanya 1 yang berhak ke syurga : 

     (1)   QUITTERS    = Jenis orang yang nak cepat sampai ke destinasi. Tetapi gopohnya dia menyebabkan   dia tidak sentiasa berada di jalan yang sebenar. Keinginan untuk cepat sampai menyebabkan kadang-kadang dia ‘skip’ proses untuk membentuk dirinya, mengakibatkan dia terhenti terus di tengah perjalanan setelah didatangkan ujian.

      (2)   CAMPERS    = Orang yang cepat berputus asa. Biarpun kesusahan dan masalah dihadapi hanya tidak sebesar mana, tetapi kerana jiwanya kecil, tidak sabar maka dia cepat berputus asa dengan kesusahan dan halangan-halangan yang ada.

    (3)   CLIMBERS      = Inilah jenis yang kita inginkan. Jalan ke syurga itu susah. Tetapi, tetap terus mendaki dan mendaki serta berusaha untuk sampai kepada tujuan itu. Memang, di pertengahan jalan akan diuji dengan gamitan-gamitan yang akan menghentikan usaha pendakian, tetapi orang yang tetap terus sabar dan optimis, maka dia akan sampai kepada tujuan itu.

Kita hendak bentuk peribadi seorang CLIMBERS (pendaki) seperti Zubair Ibn Awwam.

Biar seribu halangan di depan, tetapi bila IMAN mendominasi kehidupan, maka HALANGAN itu sebaliknya menjadi batu loncatan untuk berlaku peningkatan.

Inginkan syurga atau SYURGA menginginkan anda?

Mana yang lebih besar?

Pilihlah dan gencarkan usaha ke arah itu !!!

No comments:

Post a Comment

linkWithin

Related Posts with Thumbnails