PUT YOUR TRUST TO ALLAH...100% INSYA-ALLAH (^-^)
ya Allah... ya Allah... ya Allah...
Bismillahirrahmanirrahim....
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Moga semua dalam rahmat-NYA
InsyaAllah
HARGA SEHELAI TUDUNG LABUH…. :)
Dia menangis tersedu dalam dakapanku... tidak seperti biasa wajahnya sugul menenggelamkan keceriaannya seperti hari-hari biasa.
"Kalaupun ana salah, tak boleh ke mereka tegur depan-depan? Kenapa perlu cakap-cakap kat belakang", rintih Sumayyah dalam sedunya.
Ana mengusap lembut belakangnya, cuba menenangkan.
"Ana rasa ana ni macam jahat sangat, ana tak tahu pun mereka tak suka dengan sikap-sikap ana. Ana rasa macam semua orang tak suka ana, cakap buruk tentang ana kat belakang", tangisnya makin menjadi-jadi, tak pernahku lihat dia menangis sebegitu kerana dia biasanya hanya suka berdiam dan memendam, sukar untuk meluahkan perasaan. Begitulah Sumayyah seorang gadis bertubuh agak kecil namun sebenarnya di sebalik kerdilnya jasad tersimpan satu semangat dakwah yang kental. Ana kagum dengan jiwa kentalnya bak Sumayyah... wanita pertama yang syahid kerana mempertahankan akidah.
"Mereka kata macam-macam, ana ni pakai je tudung labuh, bawa imej Islam tapi perangai tak macam orang tudung labuh. Salah ke ana menegur kalau ana nampak mereka buat perkara tak betul? Memang ana akui ana agak tegas dan berterus terang, tapi ana bukan nak malukan mereka. Ana tahu ana tak sempurna, ana bukan budak sekolah agama,hanya sekolah harian biasa,tak pernah mengikuti pendidikan Islam secara formal di sekolah, banyak lagi ilmu yang ana tak tahu. Mereka kata masa ana tak pakai tudung labuh dulu, ana tak macam ni", rintihnya lagi.
Ana biarkan saja Sumayyah terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya, biar dia lega. Ana leraikan pelukannya, namun terus mengelus lembut bahunya, mudah-mudahan dia diberi kekuatan.
"Enti menyesal pakai tudung labuh?", ana meneka. Dia hanya membisu. Dikesatnya jernih-jernih mutiara yang turun melaju dari tubir matanya. Ana dapat mengagak jawapan disebalik kebisuannya. "Enti berputus asa nak menegur mereka lagi?", ana terus menduga.
"Buat apa nak tegur lagi, kalau tegur pun akhirnya ana yang kena kutuk", perlahan dia menjawab dalam sedu sedannya.
"Enti, Allah nak uji enti hari ini. Inilah harga tudung labuh yang kita pakai, inilah harga yang kita terpaksa bayar. Siapa kata pakai tudung labuh senang? Tak mudah seperti yang mereka nampak. Bila dah bertekad untuk pakai tudung labuh, kita kena siapkan juga fizikal, mental dan hati kita, kena kuat, kena tahan dengan cabaran. Dan inilah antara ujiannya. Bilamana kita orang yang bertudung labuh buat silap, terus dikaitkan dengan agama. Bahkan kita ni jadi perhatian di mana-mana. Pada mereka, kita kena jadi sempurna, kena tahu semua ilmu agama, dan tak boleh buat silap sikit pun. Sedangkan, kita juga manusia, manusia yang banyak sangat kelemahan", ana bersuara sambil memandang tepat ke wajahnya yang sugul. Dia terus membisu...
"Jangan pernah menyesal dengan diri enti, tudung enti. Jangan kerana masalah sekecil ini, enti dah mengalah. Ujian ni banyak sangat hikmahnya untuk enti. Allah nak ajarkan tentang sesuatu kepada enti. Sebelum ini enti mungkin tak pernah rasai ujian bila bertudung labuh, awal-awal dulu, semua menyokong, memuji dan beri galakan. Jadi mungkin enti tak terkesan sangat dengan istimewanya diri enti sekarang. Bila Allah datangkan ujian macam ni, baru kita akan rasai, betapa tak mudah sebenarnya, bersama tudung yang kita pakai, ada tanggungjawab besar yang kita bawa bersama. Tanggungjawab untuk memegang amanah membawa imej Islam, tanggungjawab memperbaiki diri, biar dalaman kita secantik luaran, akhlak kita indah sebagaimana tudung kita, tanggungjawab mempersiapkan diri dengan ilmu, kerana wanita seperti kita selalu jadi tumpuan bila sahabat-sahabat ada permasalahan agama. Jangan anggap ia sebagai beban, anggap ia sebagai keistimewaan, yang Allah bagi hanya khas kepada insan-insan yang Dia pilih. Nah, betul kan, bertudung labuh tak semudah yang disangka? Hanya yang betul kental saja dapat terus istiqamah dengannya, dan yang istiqamah dalam mengharapkan keredhaan Allah, bukan kah mendapat tempat istimewa di sisiNya? Enti tak nak jadi terkenal pada padangan Allah dan penduduk langit? Enti dah nak berputus asa?" Ana menduga mindanya.
Melihat dia terus membisu, ana bersuara lagi.
"Begitu juga, ujian ini mungkin nak menyedarkan sesuatu tentang dakwah yang berhikmah. Dulu kita biasa saja dengarkan,di mana-mana ustaz ustazah berpesan, dalam mana-mana buku yang kita baca, dakwah mesti berhikmah. Jadi sekarang Allah ajar enti bukan teori saja apa itu dakwah berhikmah, tapi juga praktikalnya sekali. Bagaimana dakwah berhikmah? Mesti kena caranya, tempatnya, sesuai perkataannya, tidak melukakan, tidak menyebabkan kemarahan orang yang kita nasihatkan. Bagaimana kalau dakwahnya tidak berhikmah? Maka jadilah, dakwah kita tak berkesan, mad'u kita terasa jauh hati dengan nasihat kita, dan akhirnya keluar lah cakap-cakap belakang macam yang enti alami. Jadi, enti jelaskan? Kenapa bersungguh benar Allah dan rasul minta kita berdakwah secara berhikmah. Dan mungkin Allah nak tegur, cara enti, Allah nak awak perbetulkan method dakwah yang enti guna, Allah nak kata, salah tu, kena perbaiki. Kena betul methodnya... Salahkah Allah tegur? Tak salah, kan. Allah tegur sebab Allah sayang, Allah tegur sebab nak bagi kekuatan, Allah tegur supaya kerja-kerja ini dapat enti laksanakan dengan lebih berkesan. Bila berdakwah, kita berhadapan dengan macam-macam ragam manusia. Mereka mad’u kita kan? Kita harus bersabar... seperti sabarnya Rasulullah s.a.w. dalam dakwah baginda. Mad’u kita ada yang sensitif, mudah melawan, ada yang terbuka, mudah dinasihati, jadi sebagai dai’e kita kena bijak sesuaikan. Dai'e yang kental, takkan putus asa, sebab dia tahu, dakwah adalah kewajipan, bukan pilihan."
"Lagi, apa Allah nak bagitahu enti? Terasa sangat sakit dan terluka bila kita jadi bahan umpatan, kejian dan kelemahan kita dibicarakan kat belakang, kan? Jadi bila kita tahu sakitnya macam ni, kita jangan sesekali buat perkara sama kepada sahabat kita sebab kita dah tahu betapa pedihnya, betapa peritnya akibat daripada perbuatan ni. Boleh lukakan hati orang, boleh menyebabkan permusuhan juga. Bila ada apa-apa yang perlu ditegur, dinasihati, jumpa sahabat kita sendiri, cakap secara jujur dan ikhlas, insyaAllah semua orang suka kalau kelembutan digunakan, cepat meresap. Kalau pun dia mungkin tak dapat terus berubah, sekurang-kurangnya dia tak terasa hati, dan tak ada permusuhan antara kita."
"Enti, walaupun enti rasa ujian ni sangat menyakitkan hari ni, tapi ana tak tengok satu pun perkara buruk yang Allah maksudkan terhadap enti. Semuanya ada hikmah yang sangat indah. Kenapa teguran Allah ini begitu perit, sakit? Sebab Allah nak kita ingat, sebab yang menyakitkan tu lebih lekat dalam ingatan kita, kalau ujian tu senang, mungkin kita tak hargainya. Allah nak kejutkan kita, mungkin Allah terpaksa 'menyergah' kita dengan kuat."
Sedu-sedannya telah reda, Ya Allah semoga kekalutan jiwa dia juga begitu.
"Habis, apa ana kena buat?", tanyanya.
"Haa... sekarang enti perlu sujud taubat kepada Allah, minta keampunanNya, mungkin ada kesilapan yang enti tak sedari, bersyukur padaNya sebab menegur enti dengan ujian begini. Kemudian pergilah jumpa sahabat-sahabat yang terasa dengan enti tu, minta maaf. Sekarang tak timbul isu siapa bersalah pada siapa dulu, tapi yang sebaik-baiknya adalah leraikan permusuhan, minta dan beri kemaafan." jawabku.
Dia menggenggam tanganku erat, "Syukran ya sodiqoti".
"Allah yang sedang memujuk enti, ana pelakon tambahan saja, tapi ana bersyukur, Allah kurniakan anugerah pengajaran yang tak ternilai untuk ana hari ni. Alhamdulillah ya Allah, syukran pada enti juga." Hatiku tenang, moga Allah memberi dia ketenangan yang sama. Ana yakin sesungguhnya jiwa-jiwa hamba itu itu dikawal oleh Tuhan. Allah itu dekat....
Sahabat, walau siapa pun kita, bertudung labuh, tudung biasa, atau yang tidak bertudung sekalipun, kita SEMUA adalah manusia biasa, yang lemah, ada cacat celanya. Sekiranya ada sahabat kita terlalai, terlupa, tolonglah ingatkan dia dengan sebaik cara.
Dan yang paling utama, setiap apa saja ujian yang mendatangi kita, berbaik sangkalah pada Allah. Bertenang, dan fikirkan hikmahnya dengan rasional. InsyaAllah, pasti dan pasti Allah tidak akan pernah menzalimi kita.
“YAKINLAH MUJAHADAH ITU SAKIT, PEDIH, PAHIT... KERANA SYURGA ITU MANIS”
assalamualaikum..lama tak buka blog..apa khbar.. sungguh terharu membaca cerpen d atas...terima kasih..sangat bernilai cerita yg d sampaikan.....akan cuba untuk menjadikan ia wadah dalam kehidupan seharian diri ini.....
ReplyDelete