PUT YOUR TRUST TO ALLAH...100% INSYA-ALLAH (^-^)
ya Allah... ya Allah... ya Allah...
Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Moga semua dalam rahmat-NYA
insyaAllah
nie ambo nk kongsi sikit Biodata Tok Guru kito. meh kito samo-samo baca walaupun panje tp ambik skit maso..
Biodata YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.
Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga
yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka,
Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat
bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan
Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat
Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di
Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai
Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal
bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara.
Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang
muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya
Hajah Aminah Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz
dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah
Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ
selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian
dihentikan buat seketika.
Pada masa ini juga, Tuan Guru
berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar
dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan
Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran
Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran
secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Tuan Guru masih
muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang
agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.
Pada
tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili,
Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul
Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir
al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.
Ketika di India beliau juga
telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di
India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah.
Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan
pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.
Pada 1957 beliau
menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958
menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan
memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab
kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A)
dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian
beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair
Februari 1962.
Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau
membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu
saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau
Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah
Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam
beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau
menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir
(sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk
bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan
Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.
Pada 1971 beliau
dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian
dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh
Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai
Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober
1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan
serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.
Beliau
telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk
Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri
kuliah dan ceramah.
Pendakwah :
Dengan pengalaman
yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan
menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang
sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di
Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu
dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau
telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu
lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang
jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau
mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan
khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan
Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi
bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.
Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok
bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar
rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang
kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang
pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis
beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi
beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan
pekerjaan para Anbia’.
Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia
peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30
Mac 1995.
Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau
mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin
Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962.
Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima
perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar,
Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik
Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.
Kehidupan beliau
sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya
tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah
pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab
agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai
sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang
ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju
Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi
pakaian rasmi beliau.
Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan
kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri
Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli
Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal
berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah
menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan
yang disampaikannya di Dewan Rakyat.
Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu
pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik
Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi
gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.
Satu
hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua
pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi
tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz
masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat
bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak
ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.
Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan
berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah
mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar
Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.